UPKO SEDIA BANTU WARISAN TAWAN PANTAI DALIT

PANTAI DALIT – Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Pantai Dalit sudah dipersiapkan untuk menggerak seluruh kekuatan jentera untuk  memastikan kemenangan bagi calon parti Warisan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini.

Presidennya, seorang pemimpin progresif di Sabah, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, seramai 2,751 ahli UPKO di Pantai Dalit akan keluar mengundi calon daripada kerajaan Warisan Plus tersebut.

“Saya selaku Ahli Parlimen Tuaran yang juga peneraju pimpinan untuk Warisan Plus di kawasan ini bertanggungjawab untuk memastikan kemenangan untuk ke empat-empat Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini. Kita bukan syok sendiri dalam pilihan raya ini. Kita ingin membentuk kerajaan negeri dan meneruskan usaha yang telah dirancang untuk pembangunan dan keharmonian rakyat Sabah, “katanya.

Rakam Sijim calon Warisan N13 Pantai Dalit

Madius berkata demikian dalam ucapan  semasa Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya Warisan Plus bagi kawasan N.13 Pantai Dalit di rumah kediaman calonnya, Rakam Sijim di sini, pada Rabu.

“Kita harus jelas dalam perjuangan dan matlamat kita. Kita tidak mahu beremosi… tetap tenang supaya kita fokus dalam memastikan kemenangan berpihak kepada kita. Saya mahu pastikan kekuatan emosi dan fizikal semua ahli jentera berada ditahap yang memuaskan,”katanya.

Menurut Madius, memudahkan setiap urusan itu adalah azimat dan kunci kemenangan buat Warisan Plus.

“Kita di dalam peperangan, di mana rakyat menjadi penentu kerajaan pimpinan mana yang mereka hendak pilih. Adakah pilihan mereka parti tempatan Sabah atau parti yang didominasi oleh Semenanjung?

“Kerajaan inilah nanti akan mencorakkan masa depan rakyat di Sabah. Saya kira sudah cukup untuk UMNO dan Barisan Nasional (BN) diberi mandat oleh rakyat Sabah…sudah lebih daripada 20 tahun tetapi apa yang terjadi rakyat terus menderita.

“Pada Selasa, Azmin Ali dalam ucapannya dia menyatakan keinginan mahu menyelamatkan Sabah. Saya ingin bertanya kepada dia, selamatkan Sabah daripada apa? Mengatur kerusi di parti sendiripun susah apa lagi mahu menyelamatkan negeri Sabah,“ katanya.

Untuk rekod, BN bertanding 41 kerusi DUN berbanding Pakatan Nasional (PN) dengan 29 kerusi. Parti Bersatu Sabah (PBS) pula bertanding 22 kerusi.

Gabungan itu, yang juga disebut sebagai Gerakan Rakyat Sabah, berusaha merampas kerajaan negeri daripada Warisan Plus. Tetapi gabungan itu bertembung sesama sendiri di 17 DUN.

Tiada pertembungan sesama sendiri antara parti di dalam Warisan Plus dan pakatan itu hanya meletakkan satu calon untuk semua 73 kerusi DUN.

Kawasan DUN N.13 Pantai Dalit menyaksikan pertandingan lapan penjuru membabitkan calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Rakam Sijim diikuti calon Barisan Nasional (BN), Jasnih Dayah; calon Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Awil Kamsari; calon Parti Cinta Sabah (PCS), Mohd Amirul Amin; calon Parti Liberal Demokratik (LDP), Rusdi Saelih; calon Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Matbee @ Matbeh Ismail; dan dua calon Bebas, Johan Jahid dan Peter Pikul.

Pantai Dalit adalah DUN baharu dengan 15,091 jumlah pengundi.

 

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top