Suara Rakyat Sabah untuk Bangkit, Madius

SULAMAN – Lantang dan jelas bahawa rakyat Sabah inginkan perubahan pada Pilihan Raya Umum (PRU-14) tahun 2018 yang lalu. Perubahan itu telah direalisasikan melalui amalan demokrasi proses pilihan raya.

Bagi pemimpin Sabah, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, perkara itu diambil sebagai isyarat daripada rakyat.

“Kita mendengar dan merasai denyut nadi rakyat yang mahukan perubahan. Cukup cukuplah…kita buat keputusan memberi tawaran kepada Warisan, tiada perundingan atau janji dibuat, yang ada cuma persetujuan untuk membentuk kerajaan,” katanya.

Madius menjelaskan semasa proses pembentukan kerajaan Sabah tergantung kerana terikat 29-29 antara Barisan Nasional (BN) dan Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Orang Sabah bilang pukas, keadaan tergantung dan kita tidak mempunyai kerajaan. UPKO menganalisa keputusan pilihan raya. Mengapa rakyat Sabah menolak BN? Pada waktu itu, kita sedar majoriti rakyat Sabah sudah mengundi pembangkang. Maksudnya rakyat inginkan perubahan dan kami menilai semula kedudukan UPKO dalam komponen BN.

“Akhirnya setelah berbincang dengan Majlis Tertinggi UPKO, kita memutuskan untuk bekerjasama dengan Warisan dan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan. Kita mahukan parti yang berjuang demi hak-hak Sabah dan selari dengan perjuangan UPKO,” katanya.

Madius turut menyelar tindakan parti lawan yang memainkan isu bahawa tindakan beliau bergabung dengan parti Warisan sebagai “katak”.

“Saya bukanlah pengkhianat, apa yang saya lakukan adalah mendengar suara dan nadi rakyat Sabah yang mahukan perubahan. Jadi adakah UMNO-BN dan sekutunya cakap rakyat Sabah yang pengkhianat? Rakyat Sabah sudah membuat keputusan mahukan perubahan.

“Saya masih memimpin UPKO. Apa yang saya lakukan cuma bekerjasama dengan Warisan dan PH untuk membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),” katanya.

Dalam perkembangan lain, seramai 1,800 orang ahli UPKO memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada calon Parti Warisan Sabah di kawasan N.12 Sulaman, Datuk Aliasgar Basri.

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top