#REAKSI BAJET 2018: Pusat Pembelajaran STEM Berupaya Bangunkan Modal Insan – Madius

KOTA KINABALU, 27 Okt (Bernama) — Penubuhan Pusat Pembelajaran STEM (Sains, Teknologi dan Kejuruteraan dan Matematik) Kebangsaan seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2018, berupaya membangunkan modal insan ‘by design and not by chance’, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Katanya penubuhan pusat pembelajaran itu pada tahun depan dengan kerjasama British Council dan UK National STEM Learning Centre yang akan dikoordinasikan oleh Akademi Sains Malaysia adalah untuk melatih guru-guru Sains di negara ini.

Madius berkata memandangan kementerian berperanan penting dalam merangka kemajuan kerjaya berteraskan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) sebagai motivasi generasi akan datang untuk mengambil bidang STEM, maka persediaan rapi untuk tujuan itu amat penting.

“Persediaan rapi perlu dibuat dari sekarang agar generasi pada masa akan datang tidak menyalahkan kita yang tidak menyediakan platform yang betul kepada mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata kementerian melalui kerjasama strategiknya dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi telah menyediakan satu Pelan Tindakan STEM Nasional 2017-2025.

Katanya hasrat utama pembangunan pelan itu adalah untuk melahirkan lebih ramai pelajar yang mengikuti aliran STEM.

— BERNAMA

 

Sumber: http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsgeneral.php?id=1404645

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top